KUALA LUMPUR | Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara terutama Pelan Pemulihan Negara tidak terganggu dan berjalan seperti biasa.
Perdana Menteri Sementara tu berkata tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada Oktober.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut.
“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
“Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.
“Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi rakyat semua,” katanya dalam perutusan akhir yang disiarkan secara langsung, di sini, hari ini.
Katanya, beliau telah menekankan bahawa kebajikan rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat.
“Saya optimis bahawa negara kita akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat apabila perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Klang di mana jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.
“Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut memohon keampunan daripada semua rakyat negara ini atas segala kekhilafan dan kelemahannya sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Katanya, beliau dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat sekalian dalam tempoh krisis yang masih dihadapi ketika ini.
“Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf,” katanya.
Tamat