KUALA LUMPUR | Setelah hilang jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata dia akan menjadi sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) yang merupakan salah satu inisiatif di bawah kementeriannya sebelum ini.
Lapor MalaysiaKini, Ahli Parlimen Ketereh itu turut memaparkan gambar kad sukarelawan di Twitter dengan mengatakan segala nikmat yang diperolehnya selama ini hanyalah ‘pinjaman’.
“Ya, tidak ada lagi rider (pengiring polis), tidak ada pengawal peribadi lagi, tidak ada ‘gaji’ lagi, tidak ada. Tapi bagi saya itu semua ‘loan’. Apa yang akan datang? Berkhidmat kepada rakyat seperti biasa.
“Saya telah mendaftarkan diri sebagai sukarelawan Prihatin.
“Saya ingin terus membantu orang miskin, gelandangan dan mereka yang memerlukan. Esok saya mula Insyaallah, ”katanya.
Annuar adalah antara ahli parlimen Umno yang tidak sehaluan dengan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi apabila mengambil pendirian menyokong pentadbiran perdana menteri yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri hari ini selepas kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat apabila Zahid dan 14 ahli parlimen Umno yang lain menarik balik sokongan terhadapnya.
Perkembangan ini memaksa anggota kabinet lain turut melepaskan jawatan masing-masing termasuk Timbalan Presiden Bersatu Faizal Azumu yang dilantik sebagai penasihat khas perdana menteri berstatus menteri 11 hari lalu.
Disember lalu, Faizal meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak selepas undi percaya dikemukan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri.
Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Muhyiddin, yang mengambil alih kerajaan pada Februari tahun lalu, akan terus berkhidmat sebagai perdana menteri sementara sehingga penggantinya dilantik.
Pada masa ini, tidak ada ada mana-mana ahli parlimen mempunyai majoriti di Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Pada Januari lalu, Muhyiddin secara rasmi melancarkan Program 5MY sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Program ini bertujuan membasmi kemiskinan bandar, selain meningkatkan sistem jaringan keselamatan sosial di kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di Wilayah Persekutuan.
5MY merangkumi lima inisiatif utama: pekerjaan melalui MYJob @ Wilayah; persekolahan (MYSchoolBus @ Wilayah); keperluan asas (MYGrocer @ Wilayah); makanan (MYFood @ Wilayah); dan juga perubatan (MYMedic @ Wilayah).
Muhyiddin berkata program itu selari prinsip “prihatin” kerajaan Perikatan Nasional dan sebagai mendukung inspirasi Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Prihatin.