KUBANG PASU | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 17,000 liter diesel dan petrol di sebuah stor haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu, K. Muniandy berkata, risikan mendapati stor haram tersebut dijadikan lokasi penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi untuk dijual kepada lori-lori kargo dari Thailand.
Menurutnya, seorang lelaki berusia 57 tahun dipercayai bertindak sebagai penjaga stor haram itu turut ditahan dalam serbuan pada pukul 11.30 pagi.
Katanya, rampasan tersebut melibatkan sebanyak 15,000 liter diesel dan 2,000 liter petrol.
“Hasil risikan mendapati, lori-lori kargo dari Thailand akan datang ke sini untuk mengisi minyak sebelum kembali ke negara mereka setelah membuat penghantaran barang ke lain-lain tempat di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, nilai rampasan diesel dan petrol yang dipercayai diperoleh dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu dianggarkan kira-kira RM40,000.
Katanya, kesemua minyak diesel dan petrol itu dirampas kerana siasatan mendapati stor berkenaan tidak mempunyai lesen menyimpan bahan bakar tersebut.
Muniandy menambah, hasil risikan mendapati sindiket tersebut baru beroperasi kira-kira tiga minggu lalu.
“Terdapat dua tangki bawah tanah di kawasan ini yang setiap satunya mampu menampung sebanyak 30,000 liter minyak diesel dan petrol,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. SUMBER: UTUSAN