PUTRAJAYA | Tan Sri Annuar Musa hari ini mencadangkan pemimpin paling kanan dalam Barisan Nasional (BN) sebagai calon Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.
Ahli Parlimen Ketereh itu menerusi facebooknya berkata, diharapkan ia juga turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen yang lain.
“Saya baru terima surat YDP Dewan Rakyat, mengarahkan Ahli Parlimen menamakan seorang ahli sebagai calun PM ke sembilan untuk di persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya akan tunaikan tanggongjawab saya, setelah saya merujuk kepada pimpinan parti saya, serta kawan kawan dari parti sahabat.
“Yang pasti, saya berhasrat mencadangkan seorang pemimpin terkanan parti BN dan mohon agar turut di sokong oleh kawan kawan ahli Parlimen pelbagai parti yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ini masanya melupakan yang lalu dan pandang ke hadapan dengan perkasakan semula perpaduan parti.
“Serta perkukuhkan muafakat dan penyatuan Melayu, kaum bumiputera serta rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.
“Doakan yang terbaik buat Malaysia dan kita serahkan pada kebijaksanaan dan budibicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Terdahulu, isi kandungan surat kepada semua ahli Parlimen itu meminta mereka menyerahkan nama calon Perdana Menteri ke9 sebelum jam 4 petang esok.
Nama tersebut perlu difaks atau di emailkan kepada Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim dan tidak dibenarkan secara serahan tangan.