KEMAMAN | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman telah melaksanakan satu sesi Eksesais Mencari dan Menyelamat atau Search and Rescue Exercise (SAREX) Tahap 1, peringkat Daerah Kemaman, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, fokus eksesais kali adalah tertumpu dalam menguji alat komunikasi antara agensi.
Selain itu, menurutnya ia juga untuk mengemaskini status saluran perhubungan dan juga mengumpul maklumat terkini agensi-agensi yang terlibat di dalam urusan CARILAMAT Maritim peringkat Daerah Kemaman.
“Penganjuran eksesais juga secara langsung berupaya meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan pegawai serta anggota Pusat Operasi dalam mengendalikan alat komunikasi dan perhubungan antara agensi seterusnya mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara agensi-agensi penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, latihan ini dilaksanakan di Pusat Operasi agensi yang terlibat, dengan dikoordinasikan oleh Zon Maritim Kemaman menggunakan medium komunikasi seperti Government Integrated Radio Network (GIRN), telefon dan faksimili.
Sesi latihan kali ini telah melibatkan agensi-agensi sahabat seperti PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Jabatan Laut Malaysia, Pejabat Perikanan Daerah Kemaman.
Turut terlibat adalah Angkatan Pertahanan Awam yang kesemuanya merupakan antara agensi penting dalam operasi CARILAMAT di daerah Kemaman.
“Semua agensi yang terlibat telah memberikan komitmen dan kerjasama yang baik sepanjang latihan berlangsung. SAREX Level 1 berjaya dilaksanakan dan ujian komunikasi berjalan dengan lancar,” katanya.