KUALA LUMPUR | Datuk Seri Rina Mohd Harun menyifatkan tempoh lebih 17 bulan berkhidmat bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bukannya satu tanggungjawab enteng (mudah).
Beliau berkata, kebajikan golongan sasar sentiasa menjadi keutamaan disamping usaha untuk menambah baik perkhidmatan kementerian kepada mereka.
“Tanggungjawab yang begitu besar ditambah lagi dengan keadaan semasa negara yang dilanda wabak COVID-19 mengubah segala cara gerak kerja dalam usaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Namun, saya bersyukur, gerak kerja saya sentiasa diiringi pasukan kerja yang langsung tidak kenal erti lelah. Semuanya demi mencapai misi bagi menyantuni golongan sasar serta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga KPWKM serta agensi-agensi di bawahnya yang telah banyak membantu saya mengemudi kementerian dalam usaha mendepani cabaran COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya di sini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas peluang dan kepercayaan yang diberikan untuk menerajui KPWKM.
“Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada semua jika terdapat sebarang kekhilafan selama saya bertugas. Semoga Allah SWT memberkati kita semua serta memelihara kesejahteraan Malaysia,” katanya.