KULAI | Gara-gara masalah hutang, seorang lelaki maut dipukul di sebuah rumah di Tan Yok Fong, di sini, semalam.
Kejadian dikatakan berlaku pada jam 8.30 pagi apabila pihak polis menerima panggilan telefon dariada seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata, wanita tersebut memaklumkan kepada polis bahawa seorang lelaki cuba memasuki rumahnya.
Katanya, sepasukan polis kemudiannya diarahkan ke lokasi kejadian dan mendapati lelaki itu yang berusia 46 tahun cedera parah dipercayai dipukul.
“Berdasarkan maklumat, lelaki terbabit cuba masuk ke rumahnya ketika wanita berkenaan dikatakan sedang tidur sebelum bertindak menghubungi rakannya.
“Lelaki berkenaan dipercayai cuba melarikan diri selepas menyedari rakan mangsa tiba tetapi berlaku pergelutan antara mereka hingga menarik perhatian orang awam di sekeliling kediaman terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini
Beng Yeow berkata, lelaki itu kemudiannya ditahan polis dan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk rawatan lanjut.
Katanya, dia dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas itu sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam hari yang sama.
“Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Polis kemudiannya menjalankan siasatan lanjut terhadap wanita itu dan mendapati lelaki terbabit dipukul kerana isu hutang,” katanya.
Menurutnya, polis kemudiannya menahan wanita terbabit dan tiga lelaki termasuk warga Indonesia berusia 31 hingga 54 tahun.
“Polis sedang mengesan lagi seorang lelaki berhubung kejadian itu. Beberapa barangan turut dirampas bagi membantu siasatan kes itu.
“Kesemua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 22 Ogos ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang awam dinasihati agar tidak bertindak di luar batasan undang-undang. Serah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.