KUALA LUMPUR | Pemuda Perikatan Nasional (PN)menerima dan menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan selari dengan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pemuda PN, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin berkata, Perdana Menteri memilih untik meletakkan jawatan ekoran 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan.
Katanya, dalam masa yang sama cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.
“Pemuda Perikatan Nasional ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan seluruh Barisan Kabinet atas segala jasa bakti mentadbir, mengemudi negara, menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat sepanjang tempoh krisis kesihatan dan ekonomi yang amat mencabar ini.
“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus lumus memerangi pandemik COVID-19 dan juga semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ir Ts Khairil berkata, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 16.1% pada suku kedua 2021.
Katanya, trend pemulihan yang berterusan ini adalah bukti jelas bahawa dasar-dasar kerajaan telah membuahkan hasil.
“Perkembangan ini disokong oleh Belanjawan 2021, serta pakej-pakej rangsangan seperti PRIHATIN, PEMERKASA, PEMERKASA+, PERMAI, PEMULIH dan bantuan-bantuan lain Kerajaan.
“Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga telah mencatatkan rekod jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia.
“Sasaran 50 peratus populasi dewasa negara di vaksinasi sepenuhnya pada akhir Ogos, dan jangkaan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober 2021. Terkini, jumlah kumulatif pemberian vaksin negara adalah sebanyak 27,293,915,” katanya.
Beliau turut memohon agar kerajaan baharu yang bakal dibentuk dapat memastikan segala perancangan yang telah digariskan dalam Blueprint Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Katanya, rakyat Malaysia juga diseru agar kekal bersatu hati, bertenang dan mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Pemuda PN yakin bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Mundur selangkah bukan berarti kalah.
“InsyaAllah, parti Perikatan Nasional akan bangkit dengan lebih kuat dan bersemangat untuk terus menabur bakti pada bangsa dan negara tercinta,” katanya.