TANAH MERAH | Sembilan kedai musnah dalam kebakaran di Pekan Bukit Bunga di sini, pagi tadi.
Kejadian jam 9.15 pagi itu ketika peniaga sedang membuat persediaan untuk membuka premis masing-masing.
Peniaga pakaian dan makanan ringan, Tasni Venik, 26, berkata, ketika kejadian dia berada dalam kedai untuk membuat persediaan sebelum memulakan operasi.
Katanya, jirannya datang memberitahu ada kebakaran dan menyuruhnya keluar dari kedai untuk menyelamatkan diri kerana api merebak dengan cepat.
“Saya tidak sempat melakukan apa-apa dan hanya mampu melihat api marak.
“Saya reda dengan kejadian itu,” katanya yang berniaga di situ sejak lebih lima tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.22 pagi.
Katanya, kebakaran itu membabitkan sembilan buah kedai dengan keluasan setiap premis dianggarkan 19×60 kaki persegi.
“Sebaik sampai, api sedang marak dan pihak bomba melakukan operasi memadam kebakaran. Pihak kami turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.49 pagi. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.