KUALA LUMPUR | Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU meminta ahli parti itu memberi sokongan kepada pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Ahli MPT BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata sokongan itu bagi membalas kesetiaan Ismail Sabri dan ahli Parlimen UMNO yang bersamanya dalam menyokong kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi negara dan rakyat.
Beliau berkata, sokongan itu juga bagi membolehkan legasi kerajaan PN dihidupkan semula sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus meneruskan usaha baik yang dilaksanakan untuk membantu rakyat.
Dengan cara itu katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dapat dihalang daripada mentadbir negara bersama-sama DAP.”Kita tunggu pengumuman Tan Sri Muhyiddin berkenaan hal ini hari ini. Insya-Allah setelah semuanya selesai, akan ada sesi penerangan untuk kita semua faham kenapa jalan ini terpaksa diambil.
“Harap kita terus bersatu dan yakin dengan keputusan pemimpin tertinggi parti kita yang bukanlah baharu dalam seni politik,” katanya kepada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz, berkata seruan itu dibuat selepas mengambil kira kewujudan sentimen penolakan dalam kalangan ahli akar umbi BERSATU dan UMNO dalam memberikan sokongan kepada calon Perdana Menteri.
“Saya faham ada ahli akar umbi kedua belah yang tidak dapat terima. Semalam kita tengok ada ahli UMNO yang tidak dapat terima dan kata Ismail Sabri adalah proksi BERSATU.
“Pagi ini apabila saya buat seruan di media sosial, saya tengok ada juga komen-komen penyokong BERSATU yang agak berat hati. Sebab itu saya buat seruan ini,” katanya.
Malam tadi, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dilaporkan berkata Muhyiddin akan mengumumkan ‘berita gembira’ hari ini.
Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai ‘berita gembira’ itu dan menyerahkan kepada Muhyiddin untuk berbuat demikian.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) malam tadi menamakan Ismail Sabri yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri sebagai calon tunggal Perdana Menteri parti itu. SUMBER: BERITA HARIAN