KUALA LUMPUR | Seorang pemimpin BERSATU mengesahkan parti itu menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata Ahli Parlimen BERSATU secara kolektif bersetuju dengan keputusan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi sokongan kepada Naib Presiden UMNO itu.
“Sebulat suara kami setuju dengan pilihan Presiden sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat MPT, diserahkan kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) untuk beliau putuskan. Sokongan penuh semua Ahli Parlimen,” katanya kepada BH.
Beliau diminta mengulas calon pilihan BERSATU sebagai Perdana Menteri baharu selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) memaklumkan mereka menyokong Ismail Sabri sebagai satu-satunya calon untuk dinamakan jawatan itu.
Ditanya mengenai surat akuan bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong, katanya beliau sendiri secara peribadi sudah pun menghantarnya tengah hari tadi.
“Saya diberitahu, sekarang ini kita sudah mendapat 114 sokongan yang sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN),” kata Ahli Parlimen Kuala Pilah itu.
Ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga 4 petang tadi untuk mengemukakan SD secara bertulis dengan nama seorang yang mereka sokong sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ia susulan notis dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun semalam, yang meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan SD menamakan seorang calon Perdana Menteri kepada Istana Negara. SUMBER: BERITA HARIAN