by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Analisis data klinikal angka kematian akibat COVID-19 di negara ini menunjukkan sebanyak 0.03 peratus iaitu bersamaan dengan empat kematian, membabitkan individu yang menerima dos penuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sejak penularan pandemik dilaporkan dalam negara sebanyak 12,993 kematian direkodkan.
“Sebanyak 80 kematian iaitu bersamaan 0.6 peratus lagi membabitkan individu yang hanya menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin,” katanya menerusi ciapan Twitter hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut mengenai tempoh masa mangsa dijangkiti, terutama dalam kalangan penerima yang sudah menerima dos penuh dan juga pecahan jenis vaksin yang diterima.