PASIR PUTEH | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan menahan dua bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan merompak hasil laut di perairan Kelantan pada jarak lebih kurang 94 dan 97 batu nautika dari Muara Tok Bali, semalam.
Dua bot itu ditahan masing-masing pada jam 10.38 pagi dan 11.07 pagi dan sejumlah 500 kilogram (kg) ikan campur dan 300 kg ikan baja serta 7,000 liter minyak diesel dirampas
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, nilai keseluruhan rampasan RM3 juta termasuk dua bot.
Katanya, menerusi operasi itu 11 kru termasuk dua tekong berusia di antara 27 hingga 46 tahun ditahan.
“Kedua-dua bot ditahan dalam tempoh setengah jam oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali yang diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Sopian Mohd Nasir, semasa rondaan Op Kuda Laut di perairan Kelantan.
“Sebelum ditahan, bot berkenaan cuba melarikan diri dan pihak kita terpaksa mengejar mereka sebelum berjaya ditahan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Jeti Maritim di Tok Bali di sini, hari ini.
Beliau berkata, semasa mengiringi kedua-dua bot ke Jeti Maritim Negeri Kelantan, salah sebuah bot mengalami kerosakan dan menyebabkan KM Tok Bali mengambil masa hampir 25 jam untuk mengiringi kedua-dua bot tahanan yang tiba pada jam 12 tengah hari tadi.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati, kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM 600,000 ke atas setiap kru,” katanya.