PHNOM PENH | Pemimpin kesatuan sekerja Kemboja, Rong Chhun, hari ini dihukum dua tahun penjara atas tuduhan menghasut pada Julai, tahun lalu.
Hakim Mahkamah Rendah, Li Sakha membuat keputusan itu selepas mendapati Chhun bersalah atas tuduhan menghasut.
Dua aktivis lain, yang ditangkap ketika tunjuk perasaan bagi menuntut pembebasannya, masing-masing dihukum penjara 20 bulan.
Hakim juga memerintahkan ketiga-tiga mereka membayar AS$100,000 (RM423,000) kepada Jawatankuasa Sempadan.Chhun, pemimpin Gabungan Kesatuan Kemboja, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.
Beliau ditangkap pada Julai tahun lalu selepas mendakwa kerajaan melakukan penyelewengan berhubung penentuan sempadan di timur negara itu dengan Vietnam.
Proses persempadanan di antara Kemboja-Vietnam selama bertahun-tahun menjadi isu kontroversi, yang didorong oleh sentimen anti-Vietnam yang kuat di negara berkenaan.
Chhun, yang berada dalam tahanan sebelum perbicaraan sejak ditahan pada Julai lalu berkata, garis sempadan baharu negara itu menceroboh tanah pertanian beberapa penduduk tempatan.
Peguam Rong Chhun, Sam Sokong menganggap keputusan mahkamah sebagai hukuman berat dan tidak memberi keadilan kepada anak guamnya,
“Sangat mengecewakan. Anak guam saya akan membuat rayuan,” katanya. – AFP