KUALA LUMPUR | Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, tindakan awal telah diambil dengan membantu memindahkan penduduk yang terlibat dengan banjir sekitar Gurun ke kawasan yang lebih selamat.
Lapor HarakahDaily, Pegawai khas beliau, Muzaini Azizan mewakilinya melawat lokasi banjir kilat, petang tadi.
Menurutnya, hujan lebat di Gunung Jerai mengakibatkan air sungai melimpah ke semua tempat.
“Beberapa rumah yang berdekatan sungai terjejas teruk,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.
Katanya, selain Sungai Badak Gurun terdapat lokasi lain yang turut ditimpa nasib sama seperti Singkir, Teroi dan juga beberapa lagi kawasan sekitar Yan.
“Tindakan awal telah diambil dengan membantu memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat kerana kita bimbang jika mereka berterusan tinggal di kediaman mereka dengan keadaan hujan lebat ini kejadian tidak diingini boleh berlaku,” ujarnya.
Menurut Muzaini, tujuh kawasan sekitar Gurun dilanda banjir kilat iaitu Taman Sri Utama, SMK Gurun, Kampung Baru, Sungai Kunyit, Sungai Badak, Kampung Jelatang dan Taman Jerai Harmoni.
“Hujan lebat berkenaan telah mengakibatkan air sungai melimpah ke kawasan berkenaan dan menjejaskan beberapa buah rumah penduduk,” kata beliau.
Katanya, kediaman penduduk yang berhampiran sungai mengalami kerosakan yang sangat teruk dan tidak selamat untuk didiami.
“Buat sementara waktu, kita minta mereka semua berpindah ke lokasi yang selamat seperti dewan dan juga rumah saudara,” ujarnya.
Tambahnya, selain Gurun lokasi lain seperti daerah Yan juga turut menimpa nasib yang sama.
“Kita harap mereka yang terjejas bersabar dan segera membuat laporan bagi membolehkan pihak berwajib menyalurkan bantuan,” katanya lagi.