KOTA KINABALU | Aktiviti memancing dilakukan dua beranak di perairan Pulau Dinawan, Kinarut dekat sini bertukar tragedi, apabila bot dinaiki dipanah petir, petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, mereka dilaporkan hilang dan anak mangsa, Abdullah Mohd. Nasir, berusia 20-an, ditemukan dan disahkan meninggal dunia di hospital.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama (M) Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, seorang lelaki dilaporkan keluar ke laut bersama anaknya dengan menaiki bot pam untuk menangkap ikan di pesisir pantai kira-kira pukul 5.30 pagi.
Bagaimanapun, kedua beranak itu tidak pulang ke rumah pada waktu petang dan keluarga mangsa terus membuat laporan berkaitan kehilangan mereka.
“Mangsa, Mohd. Nasir Abdul Nasir, 62, bersama anaknya disyaki dipanah petir ketika sedang memancing pada pukul 4 petang.
“Nelayan tempatan yang berada berhampiran dengan lokasi menemukan Abdullah dan membawanya ke hospital, namun beliau disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Papar kira-kira pukul 7 petang semalam.
“Sementara itu, mangsa kedua, Mohd. Nasir masih belum ditemukan dan usaha operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan mangsa diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, operasi CARILAMAT mangsa yang memasuki hari kedua diperluaskan ke kawasan seluas 50 batu nautika persegi. Namun, setakat ini masih belum menemukan tanda-tanda atau petunjuk positif berkaitan keberadaan mangsa di lokasi kejadian.
Operasi CARILAMAT membabitkan bot pengawal 39 dan dibantu agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tambah Mohd. Rosli, Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa dan memakai jaket keselamatan.
Selain itu, nelayan juga harus memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat mengenai lokasi dan tujuan berada di laut.
Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku di persekitaran perairan daerah ini di talian pusat operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 atau 999 (MERS).
SUMBER: UTUSAN