ALOR SETAR | Bahagian Penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Negeri Kedah menutup enam Tapak Pembinaan Projek Perumahan di Sungai Petani, Kedah.
CIDB dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan dari tindakan penutupan tapak oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) berikutan berlaku penularan kes positif COVID-19 di tapak pembinaan berkenaan.
Katanya, terdapat 55 kes positif COVID-19 di dalam kawasan berkenaan berpunca daripada pekerja warga asing.
“Projek tersebut didapati mempunyai kelulusan beroperasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penginapan pekerja.
“Tapak projek diarahkan tutup serta merta selaras dengan tindakan penutupan tapak di bawah Akta 342 Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, sebanyak 228 tapak pembinaan diarah tutup sejak 1 Jun sehingga 18 Ogos lalu berikutan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19, sebanyak 7,939 tapak pembinaan telah diperiksa oleh CIDB.
“Daripada jumlah berkenaan sebanyak 3,762 (47%) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 4,177 (53%) tidak beroperasi.
“Daripada 3,762 tapak yang beroperasi didapati 228 tapak pembinaan (6%) tidak mematuhi SOP dan diarahkan tutup, manakala 3,534 (94%) tapak lagi mematuhi SOP.
“Sejumlah 228 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta merta. Bagaimanapun, 130 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula, selepas mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, daripada 228 tapak pembinaan yang masih ditutup, sebanyak 56 di Sarawak.
Katanya, manakala, Selangor (51), Kuala Lumpur (26), Melaka (24), Johor (22), Sabah (13), Pahang (9), Pulau Pinang (7), Kedah (7), Negeri Perak (5), Sembilan (4) dan Terengganu (4).
“Manakala 130 yang dibuka semula selepas didapati mematuhi SOP terletak di Sarawak (39), Melaka (19), Selangor (18), Pulau Pinang (12), Perak (12), Terengganu (8), Kelantan (5), Negeri Sembilan (4), Perlis (3), Kuala Lumpur (3), Johor (2), Kedah (4) dan Sabah (1),” katanya.