KUALA LUMPUR | Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, fardu dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 3, Labuan berkuatkuasa 20 Ogos.
Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta selaras dengan situasi terkini PPN Berfasa.
“Bilangan jemaah bagi solat Jumaat di semua Masjid Zon, Kariah, surau Jumaat, dan Surau diberi kebenaran khas untuk Jumaat dibenarkan separuh kapasiti sebenar.
“Bilangan jemaah bagi solat fardu dibenarkan separuh kapasiti dewan solat utama. Kuliah dan tazkirah dibenarkan dengan kehadiran separuh kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bilangan had jemaah solat Jumaat, fardu dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau di kawasan PPN Fasa 1 (Kuala Lumpur dan Putrajaya) adalah kekal sebagaimana ketetapan sebelum ini.
Katanya, bagaimanapun tazkirah sebelum solat Jumaat dibenarkan tidak melebihi 30 minit.
“Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dengan memberikan keutamaan kepada jemaah yang telah menerima vaksin lengkap.
“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir,” katanya.