by Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di negara ini kekal 1.04 semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Perlis menjadi negeri mencatatkan Rt tertinggi dengan nilai 1.33.
Beliau berkata, semua negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan, kecuali Selangor, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Perlis mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sarawak (1.21), Sabah (1.19), Pulau Pinang (1.18), Kelantan (1.14), Kedah dan Perak masing-masing 1.10, Johor (1.07), Melaka (1.06), Pahang (1.06) dan Terengganu (1.05).
“Selangor pula mencatatkan nilai 0.99 diikuti Kuala Lumpur (0.96), Negeri Sembilan (0.95) dan Putrajaya (0.91),” katanya menerusi Facebook hari ini.
Labuan pula mencatatkan lima kes berbanding kelmarin, tiada kes direkodkan.
Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), Rt terendah pernah dicatatkan pada 0.81 pada 3 Mac lalu.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu jumlah individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Sebagai contoh, jika nilai Rt 1.5, bererti satu kes positif boleh tersebar kepada seorang atau dua orang yang lain.