KUALA LUMPUR | Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengenal pasti langkah dan tindakan segera untuk membantu pemulihan akibat banjir lumpur di Kedah semalam.
Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, beliau bersama beberapa orang pegawai kanan akan melakukan tinjauan ke tempat kejadian pada hari ini.
Katanya, ianya bagi memastikan kerja-kerja bantuan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti mempercepatkan proses perolehan untuk membaiki kerosakan sistem bekalan air, sistem saliran dan pengairan serta tebatan banjir.
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Operator Air Negeri yang terlibat akan memastikan bekalan air bersih kepada penduduk tidak terganggu, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan meneliti kerja-kerja pembaikan dengan segera,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, antara lokasi terbabit banjir selepas kejadian kepala air itu ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.