KOTA BHARU | Krisis politik kebelakangan ini amat membimbangkan apabila parti dilihat membawa haluan masing-masing sehingga ada Ahli Parlimen (MP) menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Menurut Exco Pemuda UMNO Malaysia, Nik Adli Burhan, ekoran itu ada MP yang sanggup melepaskan jawatan dalam kerajaan.
Katanya, bagaimanapun krisis itu sepertinya sudah hampir ke penghujung.
“Ramai yang tidak menjangkakan bahawa akan wujud suatu jumlah majoriti melebihi 112 dalam menamakan Perdana Menteri yang kesembilan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong selepas apa yang berlaku baru-baru ini.
“Ternyata sememangnya wujud sinar di hujung kegelapan ini apabila semalam difahamkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah ini cukup membuktikan bahawa parti-parti ini masih boleh bekerjasama sebagai satu pasukan sebagaimana mula-mula penubuhan kerajaan baru selepas kejatuhan Pakatan Harapan tahun lalu.
Katanya, jika Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu, ianya adalah kesinambungan yang baik dan selayaknya mengikut hierarki memandangkan beliau ialah Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.
“Jika begitu, maka tidak sesuai hal ini dinamakan krisis politik. Tiada bezanya proses ini dengan amalan biasa kerajaan selama ini iaitu Timbalan Perdana Menteri menggantikan Perdana Menteri yang meletakkan jawatan.
“Sekali lagi Yang Dipertuan Agong menunjukkan kebijaksanaan Baginda dan memainkan peranan terbaik dalam menjalankan fungsi baginda sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Benarlah Raja itu payung rakyat,” katanya.
Beliau turut berharap agar kerajaan baharu terus fokus menangani pandemik COVID-19 demi rakyat dan negara.
“Cukup-cukuplah dengan pandemik politik dan gila kuasa yang tak pernah ada vaksinnya,” tegasnya.