KUALA LUMPUR | Dua lelaki ditahan dan dua motosikal dirampas yang dipercayai dicuri dalam serbuan di sebuah rumah di Shah Alam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kedua-dua lelaki itu berusia 35 tahun dipercayai terbabit dalam kes kecurian motosikal di Sungai Besi.
Katanya, polis menahan mereka selepas mendapat laporan yang dibuat mangsa, pada jam 12.15 tengah malam sebelum sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menyerbu rumah berkenaan.
“Serbuan berjaya merampas dua motosikal jenis Yamaha, enjin motosikal dan dua rangka motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes kecurian motosikal di Sungai Besi itu. Semakan juga mendapati seorang daripada suspek memiliki satu rekod yang dikehendaki berkaitan kes dadah.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.