YAN | Tiada aktiviti pembalakan dijalankan di Gunung Jerai yang mengakibatkan berlakunya banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa kampung di daerah Yan, petang semalam.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, banjir kilat yang berlaku itu disebabkan oleh fenomena kepala air di Puncak Gunung Jerai.
“Sebagaimana sedia maklum, berlaku musibah banjir kilat petang semalam di kawasan persekitaran Hutan Simpan Gunung Jerai.
“Untuk makluman, tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana hutan simpan itu diwartakan sebagai Hutan Perlindungan,” katanya.
Dalam kejadian ini, pihak bomba melaporkan telah menemukan seorang mangsa lemas di Pusat Rekreasi Titi Hayun terperangkap di celah kayu yang dihanyutkan air semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, antara lokasi terbabit banjir selepas kejadian kepala air itu ialah kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.