KUALA LUMPUR | Seramai 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang berhimpun di Dataran Merdeka sambil membakar lilin dan memegang kain rentang putih pada yang bertulis ‘belasungkawa jiwa-jiwa yang telah pergi’ dikompaun masing-masing RM2,000 seorang.
Mereka dikesan berkumpul oleh pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 8 malam tadi di program memperingati mereka yang gugur disebabkan pandemik COVID-19.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellan Yahaya berkata, kesemua yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah COVID-19 dibawa ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (perhimpunan tanpa notis); Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (no. 2) 2021 (kawalan berhimpun).
“Setiap seorang dikompaun RM2,000 seorang sebaik sahaja keterangan selesai diambil,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memerangi wabak COVID-19.
Katanya, kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan ini membolehkan tindakan diambil terhadap mereka.