KUALA LUMPUR | PAS menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah perkenan pelantikan Perdana Menteri Malaysia Kesembilan hari ini.
Seruan ini, bagi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah untuk membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik COVID-19.
Selain itu, menurut Ahli Parlimen Marang itu juga berkata ia adalah untuk memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.
“PAS menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Bera atas pelantikan tersebut yang telah diumumkan hari ini selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara petang tadi.
Dalam masa sama, Abdul Hadi Awang mewakili Pas turut mendoakan agar Ismail Sabri sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini.
lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada esok, jam 2.30 petang, di lstana Negara.