ALOR SETAR | Kerajaan negeri Kedah
memutuskan untuk memberikan bantuan tunai RM500 bagi setiap keluarga yang terkesan dengan tragedi ‘kepala air’ di Daerah Yan dan Kuala Muda.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sumbangan itu diputuskan selepas berbincang dengan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Katanya, bantuan itu adalah untuk membantu kerja-kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan.
“Bagi keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat tragedi ini, kerajaan akan menghulurkan bantuan RM5,000 kepada keluarga mangsa.
“Urusan pendaftaran keluarga yang terjejas bagi menerima bantuan ini akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.
“Sebagai langkah awal, keluarga terbabit dinasihatkan membuat laporan polis dan mendaftarkan nama serta maklumat diri dengan pejabat daerah masing-masing,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya di sini.
Beliau berkata, Berdasarkan laporan awal, beliau dimaklumkan jumlah rumah yang terjejas dalam tragedi itu sekitar 800 buah di Yan dan sekitar 200 rumah di Kuala Muda (Tupah).
Katanya, bantuan membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan masih dalam perbincangan.
Media melaporkan, dalam kejadian kira-kira 5 petang kelmarin, beberapa kawasan sekitar Gunung Jerai dilanda banjir besar dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air berpunca dari puncak gunung berkenaan.