PETALING JAYA | Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dapat membawa negara ke arah kestabilan demi meneruskan usaha-usaha yang dimulakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Lapor Utusan beliau berkata, Ismail Sabri adalah calon yang disepakati oleh Bersatu dan rakan-rakan dalam PN.
“Ini atas keyakinan kami bahawa beliau dapat membawa negara ke arah kestabilan demi meneruskan usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Kerajaan PN.
“Bersatu mendoakan Ismail Sabri sentiasa berada dalam panduan Allah sepanjang menjalankan tanggungjawab mengemudi negara berteraskan kehendak Perlembagaan dan prinsip-prinsip tadbir urus yang berintegriti, telus, menghormati pengasingan kuasa, melindungi kebebasan kehakiman, dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, beliau berharap pelantikan itu dapat menghentikan polemik politik dalam negara.
“Kerajaan mesti segera mengembalikan tumpuan kerja kepada menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat, serta membina semula ekonomi negara. Rakyat sudah penat dengan kemelut politik terutama pada waktu pandemik ini.
“Sejak awal lagi Bersatu sentiasa konsisten bahawa tumpuan utama kita mestilah kepentingan rakyat. Dengan pelantikan Ismail Sabri, sekarang adalah masa untuk kembali kepada keutamaan itu,” katanya.