KUALA LUMPUR | Perdana Menteri Sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat berdoa supaya negara dan semua sentiasa dilindungi Allah SWT daripada virus COVID-19.
Beliau berkata, semoga semua diberi kekuatan untuk menempuh ujian, cabaran dan rintangan daripada pandemik ini.
“Mudah-mudahan keadaan akan beransur pulih dan negara Malaysia yang kita cintai ini akan sentiasa aman, makmur dan bangkit menjadi lebih kuat dari sebelumnya, Insya-Allah.
“Oleh itu, usah berhenti berdoa mengharapkan pertolongan daripada Allah SWT. Itulah sifat hamba-Nya yang tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan atas kurniaan yang Maha Esa.
“Jika kita sentiasa berpandu kepada jalan Allah, al-Quran dan Sunnah, saya yakin dan percaya hidup kita akan lebih tenang dan bermakna,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara bersama jemaah yang lain di bawah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan ketat.
Beliau berkata, Do not do what you feel is right. Do what Allah say is right. Do what is right. Kepada Allah SWT jualah kita berserah. (Jangan buat apa yang kita rasa betul. Buat apa yang Allah perintah. Buat apa yang betul).
“Kita perlu sentiasa mengambil langkah proaktif dan bertanggungjawab secara individu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua terpelihara apabila kita berada di khalayak ramai termasuk di masjid dan di kawasan awam lain,” katanya.