KUALA LUMPUR | Syarat yang diletakkan Perikatan Nasional (PN) terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bertujuan supaya tidak mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu.
Lapor Utusan, sambil menafikan bahawa Perdana Menteri itu ‘diikat’, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, ‘peringatan’ Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah supaya Perdana Menteri baharu dapat menjalankan tugas seperti kehendak rakyat.
“Malah, seperti ditegaskan olehnya bahawa beliau tidak masuk campur dalam kes-kes mahkamah dengan membiarkan berlaku pengasingan antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Secara peribadi, saya melihat cadangan Pengerusi PN itu bagi memastikan kerajaan yang bakal dipimpin Perdana Menteri baharu meneruskan amalan tersebut,” katanya seperti dipetik laporan sebuah portal.
Abd. Latiff yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sewaktu pentadbiran PN, Muhyiddin sentiasa memastikan mereka yang berintegriti dan tiada kes mahkamah dilantik dalam pentadbiran termasuk Jemaah Menteri.
Maka, perkara itu perlu konsisten dalam kepemimpinan baharu.
Semalam, PN sebulat suara bersetuju mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri baharu.
Namun, sokongan tersebut adalah bersyarat yang mana beliau perlu memastikan barisan ahli jemaahnya terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.