Oleh Nor Shazleza Shahril
YAN | Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga diteruskan hari ini untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Titi Hayun, Rabu lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata operasi hari ini bermula 8 pagi membabitkan 163 orang dari pelbagai agensi.
Beliau berkata, operasi hari ini dipecahkan kepada dua sektor besar iaitu dua pasukan di Titi Hayun manakala dua pasukan di Salak Denai.
“Di setiap sektor pasukan pertama bermula dari hulu ke hilir manakala pasukan kedua dari hilir ke hulu sehingga kedua-dua pasukan ini bertemu di tengah-tengah.
“Operasi membabitkan agensi dari JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Setakat ini, empat mangsa dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai dan Titi Hayun Rabu lalu sudah ditemui manakala dua lagi masih hilang.
Mangsa pertama, Ahmad Din, 64, ditemui pada jam 6 petang Rabu lalu di Kampung Setol di sini manakala mangsa kedua, Shahruzi Mohamad, 53, ditemui di kawasan Kilometer 8, Gunung Jerai di Guar Chempedak jam 11 malam semalam.
Mangsa ketiga, Zainol Morad, 66, ditemui di Kampung Titi Hayun jam 12.30 tengah malam semalam manakala mangsa keempat ditemui jam 3.10 petang di Keda Sungai Udang, di sini semalam.
Bagaimanapun, usaha mencari dua lagi mangsa iaitu Ridwan Poniman dan Ku Shuib Ku Abdullah masih diteruskan setakat ini.
Dalam kejadian jam 4.30 petang Rabu lalu, kepala air yang turun dari Gunung Jerai mengakibatkan beberapa kawasan di Yan dan Merbok dilanda banjir kilat dan menyebabkan empat maut manakala dua masih hilang.