KUCHING | Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan sebagai pilihan tepat ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata Naib Presiden UMNO itu mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.Malah, katanya, keupayaan Ahli Parlimen Bera itu juga terbukti ketika menjadi Menteri Kanan (Keselamatan) yang mengendalikan isu berkaitan COVID-19 dan memaklumkan perkembangannya setiap hari secara langsung selama hampir 17 bulan.
“GPS menjunjung kasih dan menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.
“Beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pernah menjawat jawatan menteri sejak 2008 lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nanta yang pernah bertugas sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ketika Ismail Sabri mengetuai kementerian itu, berkata beliau secara peribadi mengagumi kepemimpinan Ahli Parlimen Bera itu.
“Beliau sangat dekat serta mesra dengan masyarakat di semua peringkat di bandar dan luar bandar, termasuk penduduk di Sarawak. Beliau pernah beberapa kali mengadakan lawatan ke Sarawak, termasuk ke kawasan saya, Kapit pada 2010,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit.
Mengimbau kunjungan Ismail Sabri ke kawasan pedalaman itu 11 tahun lalu, Nanta berkata, pemimpin berkenaan tidak kekok mendekati rakyat di Kapit.
“Beliau selesa bermalam serta membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti di sana, termasuk program kemasyarakatan yang diadakan di Dewan Suarah, Kapit,”‘katanya.
Justeru, katanya, GPS berharap semua pihak termasuk pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan pelantikan Ismail Sabri untuk memegang jawatan nombor satu negara.
“Kita harus mengenepikan segala perbezaan ketika ini dan bersama-sama memberi tumpuan kepada isu lebih utama, iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat, selain pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“GPS percaya dengan kemampuan Datuk Seri Ismail Sabri dan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui negara menuju ke arah pemulihan, seterusnya keluar dari krisis yang sedang melanda,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN