HANOI | Rancangan Vietnam untuk melaksanakan sekatan pergerakan di Ho Chi Minh City bermula Isnin ini menyebabkan penduduk melakukan pembelian panik.
Bagaimanapun, lapor Harian Metro, kerajaan sudah membuat persediaan untuk mengarahkan tentera mengedarkan makanan kepada penduduk.
Tindakan menyerbu kedai barangan keperluan menyebabkan usaha mengekang penularan wabak semakin sukar di bandar yang mempunyai 10 juta penduduk, lapor Agensi Berita Vietnam.
Pasukan tentera akan mengedarkan makanan ke rumah penduduk di bandar ini, bekerjasama dengan sukarelawan dan kesatuan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Vo Minh Luong.
Pihak tentera juga akan melakukan kawalan bagi memastikan arahan duduk di rumah dipatuhi sehingga 15 September ini.
Penduduk hanya dibenarkan keluar untuk urusan tertentu seperti mendapatkan makanan, rawatan perubatan atau keluar bekerja di sektor yang dibenarkan kerajaan.
Vietnam berdepan gelombang Covid-19 paling teruk dengan 10,650 kes baru dan 390 kematian dilaporkan semalam.
Ho Chi Minh City merekodkan 165,000 pesakit tempatan sejak April lalu dengan 80 peratus kematian dilaporkan berlaku di bandar ini.
Terdapat 98 juta penduduk di Vietnam namun, kurang dua peratus warga Vietnam sudah mendapatkan vaksin penuh setakat 19 Ogos lalu, menurut data kementerian kesihatan.