KOTA TINGGI | Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang didalangani bekas penjawat awam dalam operasi khas ‘Ops Seludup’ yang dilaksanakan di kawasan Tanjung Sedili, di sini.
Operasi tersebut dilaksanakan pada 20 Ogos lalu oleh sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi ini, dua orang dalang (tekong) telah berjaya ditahan yang melibatkan seorang bekas penjawat awam lelaki berumur 33 tahun dan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun.
Katanya, seramai 18 orang migran warganegara Indonesia yang diseludup masuk tersebut turut ditahan.
“Ketika operasi dijalankan migran berkenaan sedang diangkut dengan menggunakan tiga buah kenderaan yang masing-masing dipandu oleh kedua-dua orang tekong tersebut dan seorang lagi pemandu berjaya melarikan diri.
“Pasukan Operasi telah mendapat maklumat bahawa sekumpulan migran yang diseludup dijangka mendarat di Pantai Tanjung Lompat, Johor antara jam 3.00 hingga 5.00 pagi. Pasukan Operasi telah digerakkan dan berjaya memintas kenderaan-kenderaan yang membawa migran-migran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain tangkapan tekong dan migran, ketiga-tiga kenderaan yang digunakan telah disita dengan nilai anggaran berjumlah RM130,000.
Katanya, sindiket ini dipercayai telah bergerak aktif sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.
“Modus operandi sindiket ialah menjalin kerjasama dengan tekong laut yang menyeludup migran dari negara jiran dan mendarat di pantai sekitar Negeri Johor.
“Tekong darat akan menyediakan pengangkutan untuk mengangkut migran-migran berkenaan sebelum diagihkan kepada majikan.
“Caj yang dikenakan oleh sindiket kepada migran untuk diseludup masuk ke Malaysia adalah antara RM800 hingga RM1,500 seorang,” katanya.
Lhairul Dzaimee berkata, kesemua 18 orang migran yang ditangkap ini akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa suatu Pas yang sah.
Katanya, bagi kedua-dua tekong tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi kesalahan menyeludup migran.
“Mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya. Kesemua mereka sedang ditahan reman.
“JIM merakamkan ucapan terima kasih kepada ATM dan PDRM yang telah menghulurkan bantuan dalam menjayakan operasi ini,” katanya.