MANILA | Presiden Filipina, Rodrigo Duterte meminta Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan segera melunaskan pembayaran elaun kepada petugas kesihatan.
Pihak hospital bimbang pengabaian tanggungjawab oleh kakitangan perubatan, terutamanya jururawat, mencapai tahap genting tatkala pandemik COVID-19 varian Delta menular dengan pantas sehingga menyebabkan lonjakan pada kes jangkitan di seluruh dunia.
Malah, jururawat di hospital terutama swasta turut mengancam akan meletak jawatan manakala kesatuan mewakili mereka pula memberi amaran mahu melancarkan mogok.
Dalam rakaman ucapan yang disiarkan semalam, Duterte juga memberi masa 10 hari untuk Jabatan Belanjawan dan Pengurusan melangsaikan bayaran faedah yang tertunggak kepada jururawat, doktor dan pekerja jagaan kesihatan lain dalam hospital awam serta swasta.”Segera bayar kepada mereka. Gunakan wang apa sahaja yang ada,” kata Duterte.
Arahan itu dikeluarkan selepas pemimpin kesatuan di hospital yang terpaksa menangani rawatan pesakit COVID-19, sebelum ini mengancam akan mengadakan mogok, lapor agensi berita CNA.
Sementara itu, kumpulan mewakili jururawat pula berkata, puluhan pekerja itu mungkin meletak jawatan kerana tidak menerima elaun risiko dan bayaran mengendalikan bahaya lantas menambahkan tekanan kepada kemudahan yang bergelut dengan masalah kekurangan kakitangan.
Persatuan Hospital Swasta Filipina (PHAPi) menganggarkan 40 peratus jururawat hospital swasta meletak jawatan tahun lalu, dan mungkin lebih ramai lagi akan berbuat demikian tahun ini.
Situasi yang sama turut dihadapi hospital awam yang sedang berperang dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19.
Jumlah kes COVID-19 di Filipina kini menjangkaui 1.8 juta dengan 31,000 kes kematian, selepas pandemik itu melanda negara itu sejak tahun lalu.
Filipina adalah negara kedua dengan jumlah kes COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara. – AGENSI