KUALA LUMPUR | Kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia adalah antara yang terpantas di seluruh dunia.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari.
Katanya, bersandarkan data itu, maka kerajaan akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.
“Demi mencapai sasaran lebih awal, kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung akan diperhebat.
“Untuk itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin.
“Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua. Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian,” katanya menerusi ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata, dengan itu, diharapkan dapat membantu dan menghargai pengorbanan pasukan petugas barisan hadapan yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu.
Katanya, kerajaan optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.
“Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah,” katanya.