KUALA LUMPUR | Kerajaan kini menumpukan kepada dua objektif utama dalam usaha mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan disebabkan pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata objektif pertama adalah mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna, sementara objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Dibawah objektif itu, beliau berkata, fokus usaha kerajaan ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.
“Fokus ini adalah sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh. “Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir,” katanya ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata, krisis pandemik memberikan kesan sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia termasuk ekonomi domestik negara ini.
“Pelbagai sektor industri terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, sangat terkesan. Ada yang masih bergelut dan ada yang gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat serta negara.
“Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar.
“Seluruhnya bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau juga berkata, seiring usaha mencapai objektif dan fokus berkenaan, pembabitan anak muda amat diperlukan dan kerajaan memberi jaminan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini.
“Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, pembabitan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN