SINGAPURA | Seorang lelaki berumur 28 tahun ditahan oleh polis, malam kelmarin, kerana disyaki merogol seorang wanita lebih tua daripadanya dan menghentak kepala mangsa pada sinki.
Menurut kenyataan polis, suspek yang dikenali sebagai Chew Kee Hock, rakyat Singapura, turut berdepan tuduhan mencederakan mangsa untuk merogolnya.
Kenyataan itu berkata, pihaknya sudah mendapat perintah reman terhadap suspek untuk siasatan lanjut.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa antara jam 8.45 malam dengan 9.05 malam Khamis lalu, dia didakwa memaksa wanita berusia 52 tahun, untuk melakukan seks oral tanpa persetujuan mangsa di tandas wanita di tingkat lima sebuah bangunan di Toa Payoh.
Seks oral atau liwat tanpa persetujuan wanita dikategorikan sebagai kesalahan merogol sejak 1 Januari tahun lalu, selepas pindaan ke atas Kanun Jenayah dikuatkuasakan.
Mangsa tidak boleh didedahkan namanya disebabkan perintah mahkamah demi melindungi identitinya. Lokasi tepat dalam bangunan itu juga tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Chew juga dituduh sengaja mencederakan mangsa dengan menghentak kepalanya pada sinki untuk merogolnya.
Menurut kenyataan polis lagi, wanita itu mengalami kecederaan ringan dan suspek melarikan diri daripada tempat kejadian.
“Menerusi paparan daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera polis, pegawai daripada beberapa jabatan berjaya mengesan laluan yang digunakan suspek semasa melarikan diri dan mengenal pasti suspek dengan pantas,” katanya.
Lelaki itu ditahan di sebuah unit kediaman di Ang Mo Kio, 10 jam selepas aduan dibuat, lapor Todayonline.
Polis berkata, suspek akan dihadapkan ke mahkamah pada 27 Ogos ini.
Jika sabit kesalahan mencederakan mangsa untuk merogol, dia boleh dihukum penjara antara lapan dengan 20 tahun dan dikenakan 12 sebatan rotan. – AGENSI