KLANG | Maritim Negeri Selangor telah menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran di kedudukan 27.8 batu nautika barat daya Sekinchan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, penahanan ke atas kapal tangki ‘Clipper Hermod’ ini berikutan pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan disalurkan kepada bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Laut dan Op Ehsan untuk diperiksa.
“Kapal yang berdaftar di Norway itu membawa 20 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia di antara 28 hingga 58 tahun terdiri daripada warga Norway, Rusia, Latvia dan Filipina serta mempunyai dokumen diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan, kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura dan singgah berlabuh di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat yang berpangkalan di Norway,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.
“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.
“Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia,” katanya.