By Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.
“Marilah kita, dengan fikiran terbuka, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.
“Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepada kita bagi memulakan langkah mencari jalan keluar daripada segala kekalutan pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik yang membelenggu negara sejak beberapa bulan lalu.
“Izinkan saya menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama seluruh perkenan Raja-Raja Melayu, atas pelantikan saya sebagai Perdana Menteri dalam keadaan negara yang sangat mencabar ketika ini,” katanya menerusi ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri hari ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri Malaysia yang telah berusaha sepenuh tenaga dalam menghadapi kemelut yang melanda negara bersama-sama Ahli-ahli Jemaah Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, beliau juga ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat yang setia menyokong daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS di bawah panji Barisan Nasional (BN).
“Penghargaan turut dizahirkan kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat daripada PPBM, PAS, GPS, STAR, PBS, SAPP, juga Ahli-ahli Dewan Rakyat Bebas yang memungkinkan terbentuknya kerajaan pada hari ini,” katanya.