KUALA LUMPUR | Bagi mengelakkan kesesakan, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) melaksanakan dua sesi pemberian vaksin COVID-19 secara walk-in atau tanpa janji temu iaitu pada sesi pagi dan petang.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, ia berikutan PPV itu dibanjiri oleh bukan warganegara seawal 4 pagi yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, majoriti mereka adalah pekerja sektor perkilangan dan pembinaan.
“Sudah berulang kali diberi nasihat dan teguran, namun mereka gagal patuh SOP, maka suatu tindakan drastik diambil dengan mengarahkan mereka beredar dan hadir semula pada jam 2 petang untuk mendapatkan vaksin.
“Ketua Pengurus PPV Stadium Nasional Bukit Jalil juga bersetuju dengan nasihat polis supaya membuat dua sesi walk-in bagi individu bukan warga negara iaitu pada sesi pagi dan juga petang,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Beliau berkata, ia ekoran satu kenyataan yang dimuat naik oleh satu pemilik akaun Tik Tok yang mendakwa diminta beredar dari kawasan PPV itu kerana dikatakan kehabisan vaksin setelah empat jam beratur menunggu giliran.
Katanya, pihaknya menambah kekuatan untuk mengawal situasi di PPV itu berikutan tarikh mendapatkan vaksin bagi individu bukan warga negara akan berakhir Ahad (hari ini).
“Tindakan ini diambil bagi memastikan semua petugas dan masyarakat setempat serta warga asing yang hadir merasa selamat daripada penularan wabak Covid-19 selari dengan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan posting tular ini kerana bimbang akan mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.