KOTA BHARU | Bagi mengekang penularan COVID-19, semua 45 Ahli Dewan Undangan (ADUN) negeri Kelantan menjalani ujian saringan COVID-19 di pintu masuk dewan di Kota Darulnaim, di sini, tengah hari tadi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua ahli dewan dikehendaki melakukan ujian saringan di pintu masuk dewan tengah hari tadi.
“Sidang DUN Kelantan akan diadakan selama tiga hari bermula pada hari esok.
“Persidangan ini tidaklah mengambil masa yang lama dan akan berjalan dengan prosedur amalan standard yang sebaiknya,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata, Kelantan masih mencatatkan kes baharu melebihi 1,000 kes dan hari ini mencatatkan 1,196 kes serta semalam 1,039 kes.
Mohd Amar menasihatkan kepada semua supaya menjaga kesihatan dan teruskan berdoa agar kes harian menurun, peratusan vaksinasi terus meningkat serta keadaan unit rawatan rapi (ICU) yang terkawal.