ANKARA | Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menafikan bahawa serangan udara di barat laut Iraq, Selasa lalu, yang mengakibatkan lapan orang meninggal, turut menyasarkan sebuah klinik.
Erdogan menegaskan bahawa kemudahan itu didakwa menempatkan anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang Ankara anggap sebagai kumpulan pengganas.
“Sasaran yang dibuat bukan hospital atau pusat perubatan, tetapi adalah satu daripada tempat penginapan organisasi,” kata Erdogan dalam panggilan telefon dengan Perdana Menteri Iraq, Mustafa al -Kadhemi.
Pada mulanya, jumlah individu yang maut dalam serangan udara di wilayah Sinjar, Iraq pada Selasa lalu, adalah tiga orang, tetapi 24 jam kemudian pegawai Iraq kemudiannya mengatakan jumlah yang terkorban meningkat kepada lapan orang.Antara yang terkorban ialah empat pekerja klinik dan empat pejuang dari Briged ke-80 yang mempunyai kaitan dengan PKK dan kumpulan Hashed al-Shaabi.
Satu sumber tempatan pula berkata, dron digunakan dalam serangan itu.
Serangan Turki yang berulang kali menimbulkan ketegangan dengan Baghdad, tetapi Erdogan memberi amaran bahawa negaranya akan ‘menangani’ kehadiran PKK jika Iraq tidak dapat melakukannya.
Iraq pula sudah beberapa kali memanggil duta besar Turki mengenai kempen ketenteraan merentas sempadan Ankara dan mengganggu gugat kedaulatan negaranya. – AFP