by Nor Shazleza Shahril
Batu Pahat | Lelaki warga emas ditahan selepas dipercayai cuba mengedar 151 karton rokok dan 209 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM40,764 di Jalan Malinja Taman Santalia, Tongkang Pechah, dekat sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, lelaki berusia 64 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 5 PGA Simpang Renggam ketika Op Kontraban pada jam 3.00 petang.
“Siasatan lanjut pihak polis telah membawa kepada rampasan yang kedua iaitu di sebuah premis perniagaan di lokasi yang sama.
“Suspek yang ditahan adalah pemilik premis berkenaan dan dipercayai bertanggungjawab membekalkan rokok seludup di sekitar kawasan Tongkang Pechah,” katanya dalam satu kenyataan dekat sini.
Dimin berkata, premis berkenaan juga dipercayai dijadikan tempat menyimpan dan menjual rokok lari cukai.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.
“Pihak polis menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya.