KOTA BHARU | Kerajaan negeri Kelantan bersetuju untuk membeli vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, jika bekalan vaksin berkurangan dan kes COVID-19 semakin meningkat, maka kerajaan negeri tidak teragak untuk membeli vaksin.
“Kerajaan negeri sedang memikirkan (beli vaksin) dan buat calculation (kira-kira) kalau vaksin tidak sampai sepertimana kehendak kita, kita terpaksa top-up (tambah).
“Kita akan dapat maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sama ada bekalan vaksin yang akan sampai kepada kita mencukupi atau tidak, kita akan tengok keadaan macam mana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Ke-14, di sini, hari ini.
Dr Izani berkata, perkara ini juga dipersetujui oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.