KOTA BHARU | Pendekatan Keluarga Malaysia yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bertepatan dengan usaha perpaduan yang sedang dibawa.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ianya sama seperti yang disebut oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, pendekatan ini bertujuan untuk menyatukan semua pihak dalam menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda.
“Justeru, kerjasama rentas parti menerusi tawaran kepada kepimpinan pembangkang untuk menggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 adalah wajar disambut bagi memastikan kestabilan politik dapat diwujudkan.
“Saya turut menyambut baik akan keputusan Perdana Menteri untuk meneruskan usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini di samping menambah baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) agar negara segera beralih ke fasa pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan.
Che Abudllah berkata, beliau akan terus berdoa semoga Keluarga Malaysia dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala seterusnya merealisasikan impian semua.
“Tahniah juga saya ucapkan kepada Ismail Sabri atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan dan ucapan sulung beliau pada petang tadi sekali gus menjelaskan hala tuju kerajaan baharu ini,” katanya.