PASIR GUDANG | Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 59,600 anak pokok hiasan dari China bernilai RM119,200 di Pelabuhan Pasir Gudang di sini, semalam kerana tiada permit import.
Jurucakap MAQIS berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa MAQIS pada jam 4 petang semalam, menemukan pelbagai spesies anak pokok tanaman hiasan berkenaan dalam kontena.
Beliau berkata, antara spesies anak pokok dirampas ialah cactus gymnocalycium, spathiphyllum wallisii, caladium, echeveria pinweel, microsorum punctatum, asparagus racemosus, strobilanthes sinuate dan adenium
Katanya, siasatan awal mendapati barangan berkenaan cuba dibawa masuk tanpa permit import yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan mengikut akta ini.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda maksimum RM150,000 atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Berita Harian