KOTA BHARU | Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 merakam ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri bermula 21 Ogos lalu.
Ucapan tahniah itu diumumkan Speaker Dun, Datuk Abdullah Ya’kub di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau berkata, besar harapan rakyat untuk melihat negara dipacu ke arah yang lebih baik bagi mendepani cabaran semasa politik dan ekonomi selepas ini.
Persidangan Dun Kelantan kali ini diadakan secara bersemuka dengan kehadiran 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Beliau berkata, semua yang hadir perlu mengisi kedatangan dan membuat imbasan menggunakan QR Code yang disediakan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial yang ditetapkan.
“Ucapan terima kasih juga buat warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan tugas menjalani ujian saringan Covid-19 kepada kami semalam,” katanya dalam ucapan di Istiadat Pembukaan Sidang Dun di Kota Darulnaim, hari ini.