BACHOK | Polis mencari dua daripada tiga suspek yang terbabit dalam kes menetak seorang lelaki di dalam kejadian di Kampung Pauh Jabit, Tawang, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, dua lelaki itu, Mohamad Fairu Azizi Nawi, 35, atau lebih dikenali sebagai Jiji dan rakannya, Muhammad Azmi Abdul Aziz, 36, dikenali sebagai Jimi.
Katanya, pihak polis sudah ke rumah mereka yang terlibat, namun kedua-duanya melarikan diri.
“Jiji mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
“Jimi mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 23(1)(n) NRR iaitu tiada pengenalan diri ketika ditangkap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, polis meminta kerjasama orang ramai untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki cedera parah selepas ditetak tiga lelaki ketika dalam kejadian di Kampung Pauh Jabit, Tawang, di sini, petang semalam.
Kejadian itu menyebabkan mangsa, Mohd Roslaidi Arifin, 42, putus ibu jari sebelah kanan, luka di bahagian atas kepala, betis kanan dan lutut kiri.
Sebelum kejadian, mangsa ke rumah salah seorang daripada tiga lelaki itu untuk mencari burung Murai Cerek miliknya yang hilang.