LUMUT | Maritim Negeri Perak dan Tentera Laut Amerika Syarikat telah melakukan sesi latihan atau eksesais bersama melalui platform South East Asia Cooperation and Training (SEACAT) pada 14 hingga 20 Ogos lalu di sekitar perairan Pulau Jarak, di sini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman dalam satu kenyataan berkata, eksesais kali ini terbahagi kepada dua fasa.
“Fasa pertama, seminar ‘Maritime Security’ dilakukan secara ‘virtual’ di Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajayaa pada 10 hingga 13 Ogos lepas
“Fasa kedua merupakan fasa laut yang dilakukan di sekitar perairan Pulau Jarak pada 14 hingga 20 Ogos dan Kapal Maritim (KM) NYALAU mewakili Maritim Malaysia dalam eksesais ini,” katanya.
Beliau berkata, semasa sesi eksesais fasa laut,
latihan komunikasi antara pihak telah dilakukan yang melibatkan KM NYALAU, USS TULSA milik Tentera Laut Amerika Syarikat, kapal tangki SILVER HANA serta pihak ‘Information Fusion Centre’ (IFC).
Katanya, selain itu, KM NYALAU turut melaksanakan misi penggeledahan secara ’hybrid’ dengan menggunakan peranti komunikasi antara ’Vessel of Interest’ (VOI) untuk mendapatkan maklumat dan disalurkan pada agensi sahabat.
“Beberapa siri latihan lain juga telah dilaksanakan oleh KM NYALAU bersama Tentera Laut Amerika Syarikat meliputi operasi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah serta penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Justeru, penganjuran eksesais ini juga secara langsung berupaya meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan pegawai serta anggota Pusat Operasi dalam mengendalikan alat komunikasi dan perhubungan antara negara,” katanya.
Shahrizan berkata, eksesais ini dilaksanakan di Pusat Operasi agensi yang terlibat, dengan dikoordinasikan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) dan Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan Maritim (BKPM) Ibu Pejabat Maritim Malaysia dengan menggunakan peranti komunikasi dalaman seperti ’Government Integrated Radio Network’ GIRN, ’HF’ telefon dan Email.
“Inisiatif eksesais yang dijalankan secara intensif ini mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara negara seterusnya mempromosikan negara dalam konteks kedaulatan perairan negara di peringkat global,” katanya.