By Nik Amir
KUALA LUMPUR | Stuart Ramalingam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), berkuat kuasa 1 September ini.
Pelantikan Stuart yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali gus melengkapkan carta tertinggi organisasi pentadbir liga bola sepak kebangsaan itu selepas CEO terdahulu, Datuk Ab Ghani Hassan dilantik sebagai Pengerusi MFL, minggu lalu.
Ab Ghani berkata, keputusan melantik Stuart selaku CEO MFL baharu dilihat satu keputusan simbiosis yang bermanfaat kepada industri khususnya kepada pengurusan bola sepak tempatan.
Menurutnya, pelantikan beliau untuk memegang jawatan ini berdasarkan pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bersama organisasi tempatan dan antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi menentukan CEO MFL baharu selepas saya dipilih menjadi Presiden MFL pada minggu lepas.
“Saya bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara telah bersetuju untuk melantik Stuart sebagai CEO MFL baharu,” katanya menerusi kenyataan rasmi hari ini.
Jelas Ab Ghani lagi, beliau menganggap faktor pengalaman menjadi kriteria utama bagi pihaknya sebelum memilih seseorang individu yang berkaliber untuk mengetuai MFL.
“Seperti saya katakan pada sesi sidang media pada minggu lalu, pengalaman antara kriteria penting buat CEO MFL di mana saya yakin bahawa kehadiran Stuart sudah pasti bakal memberikan anjakan paradigma kepada senario bola sepak tempatan.
“Saya ingin mengalu-alukan kedatangan Stuart dan saya percaya beliau mampu membawa budaya korporat yang akan menjadi perubahan positif kepada MFL,” ujarnya lagi.
Stuart, 44 tahun, memulakan karier
karier pengurusan dalam bola sepak pada 2008 selepas dilantik oleh FIFA sebagai ‘Professionalisation Consultant’ yang bertanggungjawab memberikan sokongan berterusan dan konsultansi kepada ahli-ahli gabungan FIFA dalam mewujudkan liga-liga baharu, mengemaskini pentadbiran persatuan negara serta menjadi perancang bagi program pendidikan pentadbiran FIFA (Futuro III).
Selepas empat tahun, beliau dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Liga Super Malaysia (MSL) pada 2010 dan diberikan kepercayaan untuk merencanakan struktur FAM and juga aspek-aspek komersial badan induk bola sepak kebangsaan itu.
Pada 2012, Stuart menyertai AFC dengan memegang pelbagai jawatan pengarah termasuk Pengarah Kejohanan Kelab-Kelab AFC (termasuk AFC Champions League, AFC Cup dan kejohanan-kejohanan Futsal AFC), Pengarah Pemasaran dan juga Pengarah Social Responsibility.
Dua tahun selepas itu, Stuart memgembangkan kerjaya beliau apabila menjadi perunding kepada Dentsu Sports dan IMG, dua agensi sukan terbesar di dunia.
Di Dentsu Sports, Stuart kemudian mengambil alih jawatan Naib Presiden selama empat tahun sehingga tahun 2018 dan mengetuai operasi agensi tersebut di Asia termasuk penajaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pengurusan Sukan Asia 2018 Indonesia dan perencanaan strategi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum dilantik Setiausaha Agung FAM ke-10, pada 16 Julai 2018.